KUANTAN: “Saya bukan penipu, saya adalah mangsa yang kena tipu,” kata ahli perniagaan Datuk Foo Chek Pang, yang menjadi mangsa penipuan jual beli tanah perlombongan bijih besi di Chini, Pekan, pada Disember tahun lalu.

Chek Pang, 54, berkata, orang ramai menyangkanya penipu yang bergelar Datuk selepas tular mengenai tindakan penahanannya oleh polis berkaitan kes rampasan satu traktor di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini, Isnin lalu.

“Saya mahu jelaskan di sini yang kes rampasan itu langsung tidak ada kaitan dengan saya. Sebenarnya saya menjadi mangsa penganiayaan seorang lelaki dikenali sebagai Jaya.

“Selepas kejadian penahanan saya Isnin lalu, ramai orang termasuk rakan beranggapan saya Datuk yang menipu dalam urusan jual beli tanah lombong berkenaan, tetapi sebenarnya saya adalah mangsa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Jalan Beserah, di sini, semalam.

Beliau mendakwa, dia dianiaya oleh Jaya yang bertindak sebagai orang tengah dalam kes jual beli lombong berkenaan.

Katanya, lelaki berkenaan menuduh beliau yang menyuruhnya menceroboh dan mengambil traktor walaupun dia tidak tahu-menahu langsung mengenai perkara berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, seorang ahli perniagaan rugi RM100,000 selepas mendakwa diperdaya seorang lagi ahli perniagaan lain yang bergelar Datuk.

Beliau ditawarkan lombong yang dijual pada harga RM1 juta oleh Jaya, 35, pada Disember tahun lalu sebelum membuat bayaran deposit RM50,000 melalui cek dan RM50,000 lagi tunai.

Mengulas lanjut, Chek Pang berkata, mengikut perjanjian jual beli lombong berkenaan, suspek bergelar Datuk itu berjanji jika tidak memperoleh wang deposit semula, beliau boleh mengambil lori milik syarikatnya di Kawasan Perindustrian Gebang, dekat sini.

“Namun saya tidak berbuat demikian. Jaya yang merancang segalanya dan menuduh saya terbabit. Saya ditahan semalaman (Selasa lalu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. Bagaimanapun, polis memberi layanan baik sepanjang tempoh tahanan.

“Saya dibebaskan keesokan harinya selepas Datuk itu menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas saya berkaitan pencerobohan dan rampasan traktor berkenaan,” katanya.

Beliau turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu, Selasa lalu walaupun mereka menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Ini kerana saya mahu polis meneruskan siasatan bagi kes penipuan berkenaan.

“Segalanya saya serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk menyelesaikannya dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu bergelar Datuk berkenaan kerana menipu dalam urusan jual beli lombong,” katanya – Hmetro