IPOH: Saya hanya menyanyi, bukan merompak atau mencuri, itu kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengenai rakaman video aksinya sedang menyanyi dalam sebuah majlis yang tular di media sosial.
Ahmad Faizal berkata, aksi itu juga dibuat hanya semata-mata untuk mempromosikan penerbangan Airasia yang julung kalinya membuka laluan dari Johor Baharu ke Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) baru-baru ini.

“Saya buat perkara itu dengan harapan orang ramai akan tahu mengenai penerbangan yang baru dilancarkan berkenaan, setakat ini Menteri Besar Perak tidak mencuri atau merompak, tapi hanya bertindak untuk menjadi diri sendiri, saya bukan buat benda tidak senonoh.

“Ada dalam Facebook mengaitkan ia dengan perkara politik, ia bukan isu politik, saya hanya melakukan perkara dengan spontan, kalau berdosa maafkan saya, saya tak fikir ia mengaibkan negeri ini,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah video klip yang sedang tular menunjukkan beliau sedang menyampaikan persembahan kepada orang ramai dengan menyanyikan lagu Kau Ilhamku dari Man Bai.

Video berkenaan mendapat kritikkan khususnya daripada blogger-blogger pro-pembangkang yang cuba sedaya upaya mengaitkannya dengan isu politik.
Namun terdapat juga netizen-netizen yang memberi pujian kepada Menteri Besar kerana bersikap spontan dan mengenepikan protokol.