LELAKI yang dipercayai dilanggar keluarga bekas isteri pertamanya di Taman Cahaya Kristal, Bandar Baharu, Kedah, Ogos tahun lalu, kesal tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan kes berkenaan daripada pihak berkuasa.

Ku Mohd Fazly Ku Hamdan, 38, berkata, dia hanya mengetahui pemandu kereta terbabit sudah didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, Kedah, selepas membaca laporan media, semalam.

“Saya hanya tahu pemandu kereta terbabit sudah didakwa selepas membaca laporan media, malah saya tidak menerima surat keputusan mahkamah berhubung perkara itu.

“Sepanjang tempoh saya membuat laporan polis hingga ke hari ini, saya tidak dimaklumkan mengenai kes itu sudah didakwa di mahkamah. Saya bertambah kecewa apabila dimaklumkan denda dikenakan adalah pada kadar minimum iaitu RM1,200 atas kesalahan dilakukan.

“Bukan jumlah yang dipertikaikan, tetapi nyawa saya jadi taruhan. Bayangkan saya terpaksa berulang-alik ke hospital lebih dua bulan sebelum boleh berjalan seperti biasa akibat kecederaan dialami, kerana bukan saja dilanggar tetapi juga dipukul.

“Namun mereka terus bebas begitu saja tanpa memohon maaf kepada saya dan anak-anak,” katanya yang memaklumkan sudah bercerai dengan bekas isteri pertama pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah turut mengganggu emosi dua anaknya dengan bekas isteri pertama.

“Walaupun hampir setahun kejadian itu berlaku, insiden berkenaan meninggalkan kesan mendalam bukan saja terhadap saya yang cedera di kepala, rusuk dan saraf sehingga perlu menerima rawatan di Hospital Taiping, Perak, tetapi kepada kedua-dua anak kami, Ku Nur Irdina Athirah, 12, dan Ku Mohd Dhuha berusia empat tahun,” katanya menambah kedua anaknya terpaksa menerima rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah kerana tertekan dengan insiden terbabit.

“Anak sulung saya kini terpaksa mengambil ubat penenang kerana emosinya terganggu akibat kejadian itu yang berlaku di depan mata mereka.

“Saya sedih mengenangkan nasib anak-anak yang kini di bawah jagaan saya dan isteri kedua sejak mereka dijemput dari rumah bekas mak mentua di Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada Oktober tahun lalu.

“Mereka menyatakan rasa kasihan pada saya kerana diperlakukan sedemikian oleh bekas isteri (isteri pertama) hingga dia sanggup bertindak melanggar saya. Namun, saya lebih sedih mengenangkan nasib anak-anak yang masih kecil tetapi terpaksa berdepan dengan isu ini hingga mengganggu emosi mereka,” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, polis memaklumkan kes berkenaan sudah diambil tindakan dengan anak saudara bekas isterinya yang didakwa dua pertuduhan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa manusia dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja di Mahkamah Kulim, Kedah pada 27 Mac lalu.

Lelaki berkenaan dikatakan sudah membayar denda dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Difahamkan isteri pertama Ku Mohd Fazly datang menaiki kereta Perodua Myvi dipandu anak saudara lelaki bersama ibu bapanya kononnya untuk berbincang hak penjagaan anak lelaki mereka yang ketika itu berusia tiga tahun.

Bagaimanapun berlaku pertengkaran dan mangsa dilanggar selepas menghalang kereta dinaiki isteri pertamanya yang enggan berhenti. Kereta itu terus bergerak sejauh beberapa meter menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di kepala.

Kejadian itu tular di media sosial selepas Ku Mohd Fazly memuat naik video insiden berkenaan berdurasi 47 saat di akaun Facebooknya, Isnin lalu, sebelum status itu dikongsi netizen.

Malah, video bertajuk ‘Isteri curang bersama teman lelaki langgar suami sehingga koma, namun tiada tindakan daripada pihak polis’ itu mendapat kecaman netizen – hmetro