PETALING JAYA: Rais Hussin memaklumkan dia menggalas jawatan pengerusi biro dasar dan strategi sejak hari pertama PPBM ditubuhkan, menjawab laporan yang memetik Pengerusi Dr Mahathir Mohamad berkata tidak ada jawatan “pakar strategi” dalam parti itu.

“Saya tidak tahu apa yang dikatakan Mahathir dalam mesyuarat tadi tetapi yang saya pasti sejak hari pertama penubuhan parti, saya pengerusi biro dasar dan strategi.

“Itu tanggungjawab yang diberikan kepada saya semasa parti ini mula-mula ditubuhkan hingga sekarang. Selama ini tidak ada sesiapa yang membangkitkan perkara itu,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah media yang menggelarnya “pakar strategi” PPBM.

“Kalau media panggil saya macam itu, apa yang saya boleh katakan,” tambahnya.

Terdahulu, Mahathir berkata membidas seorang ahli kanan parti itu yang digelar “pakar strategi”, mengatakan tidak ada jawatan itu dalam PPBM.

Perkembangan ini sehari selepas Rais, yang selalu dirujuk sebagai ketua strategi parti, memberi amaran bahawa Pakatan Harapan akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Mahathir berkata kenyataan seperti itu boleh merosakkan imej PH, dan tindakan akan diambil terhadap mereka.

Rais mempertahankannya kenyataannya di forum “Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia semalam.

“Isu ini timbul sebab saya bercakap benar,” katanya, menegaskan dia berhak memberikan pandangan berasaskan fakta.

“Saya menunggu apakah tindakan selanjutnya memandangkan saya tidak ada dalam mesyuarat tadi. Saya sedia jawab apa sahaja soalan yang mereka tanyakan. Saya akan ikut prosedur yang ditetapkan.”