KUALA LUMPUR : Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mengkritik pembangunan Forest City di Johor disebabkan sifat projek itu, bukannya prospek pemilikan rumah oleh warga asing.

Perdana menteri berkata, beliau mengkritik projek Forest City kerana hartanah itu dikatakan adalah pegangan kekal dan mewah.

“Hanya orang asing mampu beli,” katanya selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Peralatan Perubatan hari ini.

“Ini (hartanah dengan had harga diturunkan) bukan untuk warga asing yang mampu membelinya,” katanya susulan kritikan berterusan terhadap keputusan penurunan had harga rumah bagi warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 Jumaat lalu.

Mahathir mengkritik penjualan tanah kepada warga asing menjelang pilihan raya umum tahun lalu, khasnya projek Forest City seluas 1,386 hektar yang dibina di empat pulau buatan manusia di wilayah Iskandar Malaysia.

Ogos tahun lalu, beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan warga asing membeli rumah dalam projek itu, tetapi pejabatnya kemudian menjelaskan warga asing boleh memiliki hartanah dengan syarat tertentu.

Hari ini, Mahathir berkata, ada rakyat yang tidak mampu membeli rumah di negara ini.

“Mereka boleh beli flat dan pangsapuri lebih murah.

“Alasan untuk ini ialah kita mempunyai lambakan hartanah yang boleh mencetuskan krisis kewangan.”

Beliau memberi contoh Hong Kong dan Tokyo yang berdepan lambakan hartanah disebabkan pembangunan berlebihan.

“Kita perlu mengatasi masalah lambakan ini supaya pasaran hartanah menjadi sihat semula.”

Tetapi, katanya, Forest City ialah perkara berbeza.

“Ia adalah pembangunan yang sangat mewah di mana rakyat Malaysia tidak mampu membelinya. Disebabkan tidak ramai rakyat Malaysia yang membelinya, jadi berlaku lambakan.

“Kita perlu menjualnya atau pemaju akan berdepan masalah.”