PERNAH lelaki tempatan datang ke rumah saya untuk `berseronok’ dan mengajak saya menemaninya ke tempat hiburan tetapi saya menolaknya dengan baik kerana saya sudah insaf,” kata pondan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Ma.

Menurut Cik Ma, kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu di rumahnya di Kota Bharu.

Kata pondan yang berusia 73 tahun itu, dia menolak `ajakan’ beberapa lelaki itu dengan baik dan menjelaskan kepada mereka bahawa dia tidak lagi melakukan aktiviti tidak senonoh itu.

“Saya jelaskan kepada mereka, umur saya sekarang dah 70 lebih dan tidak ada keinginan untuk berseronok lagi. Saya rela berada di rumah dan membuat amal ibadat seperti insan yang lain.

“Alhamdulillah, mereka memahami keputusan saya dan beredar dari rumah saya,” kata Cik Ma ketika ditemui NSTP di rumahnya, hari ini.

Anak bongsu kepada empat beradik yang berasal dari Salor, Pasir Mas, itu berkata, dia dan beberapa orang rakan baiknya telah insaf dan kembali ke pangkal jalan sejak lebih 20 tahun lalu.

“Jika tahun 1980 an, terdapat lebih 30 pondan terbabit dalam aktiviti maksiat di negeri ini tetapi sekarang ramai yang sudah meninggal dan ada yang kembali ke pangkal jalan.

“Sekarang ini hanya tinggal saya dan tiga rakan saya yang masih hidup dan kami sudah nekad untuk tidak melakukan aktiviti maksiat itu lagi.

“Selain berjumpa sekali-sekala untuk melepaskan rindu, kami juga menghabiskan aktiviti harian kami dengan aktiviti berfaedah dan ada juga yang sudah bekerja,” kata Cik Ma yang berkerja sebagai tukang sapu di pejabat swasta di sini.

Dia berkata, rakan-rakannya yang lain ada yang menjalankan perniagaan restoran dan ada yang menjadi tukang jahit.

“Jika dulu kami sangat liar dan melakukan maksiat dan sanggup dibawa ke hotel oleh pelanggan kami yang majoritinya orang muda tapi sekarang semuanya sudah berubah.

“Kami tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi,” kata Cik Ma yang mengakui antara pelanggan setianya termasuk pegawai penguatkuasa negeri.

Cik Ma yang tidak pernah ketinggalan menunaikan solat Jumaat sejak 20 tahun lalu, berharap masyarakat tidak lagi memandang hina kepada golongan pondan sepertinya.

“Memang tidak dinafikan golongan pondan masih wujud di Kelantan. Mereka lebih muda dan melakukan aktiviti itu untuk berseronok, bukan untuk menampung kehidupan harian,” katanya yang mula menjadi pondan sejak berusia 15 tahun.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Kelantan tegas dengan pendirian memerangi kegiatan lelaki berkelakuan wanita atau pondan di negeri ini.

Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata, tindakan boleh dikenakan termasuk kepada pihak luar yang berkunjung ke negeri ini untuk melakukan kegiatan berkenaan.

Katanya, Seksyen 7 Enakment Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 memperuntukkan pesalah boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan – hmetro