IPOH : Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan ucapan takziah dan rasa sedih atas kehilangan Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Ahmad Faizal berkata, beliau secara peribadi menganggap allahyarham sebagai seorang hero yang berani, justeru mendoakannya agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

“Kalau kita lihat dari segi kejadian itu, kita faham bahawa latihan-latihan sebegitu telah selalu allahyarham dan rakan-rakan lain lakukan dan ini semua bukan untuk menunjukkan kehebatan diri tetapi untuk memperkemas kecekapan mereka demi mempertahankan negara.

“Saya sendiri secara peribadi menganggap beliau sebagai hero dan wira pada diri saya dan semangat yang telah ditunjukkan oleh allahyarham sentiasa saya kenang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham di Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini hari ini.

 

– UTUSAN ONLINE