JOHOR BAHRU: Pemandu Myvi memohon maaf kepada keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas kecuaiannya dalam pemanduan sehingga meragut nyawa mangsa dalam nahas jalan raya, Sabtu lalu.

Tertuduh, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, melahirkan rasa kesal atas perbuatan berkenaan kerana tindakan itu telah menyebabkan isteri serta tiga anak mangsa kehilangan bapa tersayang.

“Saya akui kesalahan ini dan mengaku menyesal serta ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana perbuatan ini telah menyebabkan mereka kehilangan orang tersayang,” katanya ketika membuat rayuan hukuman di Mahkaman Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, wanita itu yang berkerusi roda mengaku bersalah di atas pertuduhan memandu kereta Perodua Myvi di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohd. Rizal Suberi di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada pukul 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin kemudian memerintahkan Nur Fatin Nasrah dihukum penjara enam tahun dan denda RM8,000 serta menetapkan tempoh penjara itu ditambah enam bulan lagi jika gagal bayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wanita tersebut hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan lesen memandu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan itu hingga meragut nyawa.

Beliau menegaskan wanita itu bukan sahaja memandu di bawah pengaruh dadah, malah juga tanpa memiliki lesen kenderaan dan memandu secara berbahaya.

“Kejadian ini telah berlaku pada orang lain, bayangkan jika berlaku terhadap kita atau keluarga kita,” katanya.

Mahkamah sama juga mengenakan denda RM3,300 terhadap wanita itu yang mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan kesalahan jalan raya iaitu tidak memiliki lesen kenderaan, membawa kenderaan lesen tamat tempoh dan tidak dilindungi insurans di lokasi dan waktu sama.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Nur Fatin Nasrah dihukum penjara tujuh bulan setelah mengaku salah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamie pada pukul 7.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, 10 Oktober lalu.

Pendakwaan kes itu dikemukakan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pada Sabtu lalu, Mohd. Rizal, 31, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Harimau Tarum berhampiran Plaza Pelangi apabila kereta Honda Accord dipandunya dirempuh Perodua Myvi di simpang empat lokasi kejadian. -UTUSAN