PARIT BUNTAR: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak akan terjebak dengan taktik pembangkang yang sengaja membangkitkan isu tidak benar untuk ‘memancing’ perhatiannya.

Malah, Menteri Besar Perak itu juga tidak berhasrat menjawab tohmahan palsu pembangkang terhadapnya dan kerajaan negeri kerana cara itu hanya akan ‘mempopularkan’ lagi calon parti lawan terbabit.

“Saya nak beritahu dia (Prof Dr Abdul Aziz Bari), dalam bahasa Peroknya, hanya orang Perok yang lebih tahu (daripada) ape yang dicakapkannya itu (hanya orang Perak yang lebih tahu apa yang dicakapnya).

“Jadi bior ler dia (biarlah dia). Saya tidak mahu beri dia ‘popular’,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dataran Amanjaya, Simpang Lima, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan semua calon Barisan Nasional (BN) bertanding di Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai.

Semalam, Abdul Aziz yang juga calon DAP bertanding atas tiket PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi itu dilapor menyelar kerajaan BN kerana tidak mempedulikan kawasan dimenangi pembangkang termasuk kawasan ditandinginya yang berada di bawah Parlimen Ipoh Timur.

Beliau juga didakwa menyerang peribadi Dr Zambry dengan berkata, “Ni Zambry mana pergi, dah dua kali dah, dua penggal dah termasuk yang dicuri 2009 tu. Kalau dah mencuri tu sedarlah diri sikit. Buat kerjalah, ni dah mencuri, kerja tak buat, apa Zambry ni?”

Mengulas lanjut, Dr Zambry berkata, dirinya tidak termakan dengan kutukan berkenaan.

“Dia sebenarnya nak ‘jentik-jentik’ supaya saya sambut dia.. saya jawab dia. Tapi biar lah… biar exco saya menjawab,” katanya yang menyifatkan ‘ajakan’ itu sekadar untuk pembangkang popular dan calonnya dikenali.

Dalam ucapannya, calon Parlimen Lumut dan DUN Pangkor itu menjelaskan, kerajaan pimpinannya tidak pernah membelakangkan mana-mana kawasan termasuk diwakili pembangkang.

Sebaliknya, barisan Exconya sentiasa memberi maklum balas segera bagi sebarang permasalahan dilalui rakyat sejajar aspirasi BN yang mahu terus berkhidmat untuk rakyat tanpa pilih kasih.

“Tanyalah sendiri wakil rakyat dia (DAP) apa yang sudah mereka buat di kawasan dan apa yang kita buat termasuk di kawasan mereka. Tengoklah sama, apa kita sudah buat selama ini, di Parit Buntar ini (diwakili PAS)… berapa kali saya datang sampai orang sini pun dah cemuih (bosan).

“Sebab itu saya kata, biaq pi dia (biarlah dia), dia tengah seronok perkenalkan diri dan jika MB jawab… dia akan jadi lebih besar (popular). Biarlah sebab rakyat tahu apa kita buat di Perak,” katanya.

 

BERITA BERKENAANRakyat Bijak Menilai Kerja Dr Zambry – Calon Pasir Panjang