ALOR SETAR : “Saja (sengaja) nak cucuk (laga-laga) lah tu, saya tak pernah terfikir pun (nak jadi Perdana Menteri Ke-8)”.

Demikian reaksi ringkas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika ditanya tentang namanya yang dikaitkan sebagai antara pengganti sesuai kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga tidak tahu-menahu mengapa namanya yang disebut ketika isu Perdana Menteri Ke-8 sering menjadi perhatian ramai ketika ini.

“Taktau (tidak tahu) mai mana (berita) itu,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta Walk For World Peace sempena Hari Keamanan Antarabangsa di Taman Jubli Emas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Semalam, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terlalu yakin untuk menjadi pengganti Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ujarnya, nama-nama lain seperti Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mukhriz juga dilihat sebagai calon sesuai bagi menjawat jawatan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Mukhriz berharap agar kerajaan Persekutuan dapat memberi lebih pengkhususan terhadap aspek pembangunan di negeri itu yang kini ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam Belanjawan 2020.

Sambil mengakui kenyataan Perdana Menteri bahawa Kedah antara negeri miskin, beliau turut meminta hasil yang setimpal perlu disalurkan kepada negeri itu setelah banyak berkorban untuk mempertahan kemakmuran dan meningkatkan ekonomi negara termasuk menjadi penyumbang tenaga solar terbesar di Malaysia.

Kedah menjadi satu-satunya negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) selepas Perlis dan Kelantan yang dikategorikan sebagai negeri miskin dan perlu diberikan lebih tumpuan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.