PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad bertegas dengan pandangan awalnya bahawa video seks gay yang mensasarkan Mohamed Azmin Ali bermotifkan politik, mengatakan ia bertujuan menekannya memecat menteri hal ehwal ekonomi itu.

“Tindakan ini (pecat Azmin) boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa. Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini,” kata perdana menteri menerusi blognya, hari ini.

Beliau juga berkata beliau tidak akan dipergunakan dalam apa yang beliau sebut sebagai plot politik untuk menyingkirkan Azmin.

“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor,” tulisnya.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”, yang bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

Beliau juga berkata hasil analisis forensik tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.

Pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz membuat pengakuan bahawa beliau merupakan salah seorang individu dalam klip video seks sejenis yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Polis setakat ini menahan 11 individu bagi membantu siasatan penyebaran klip tersebut, termasuk Haziq dan pemimpin PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim.

Mahathir berkata pengedaran video itu jelas untuk tujuan politik.

“Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip,” tulisnya.

 

-FMT