RAMAI yang tuduh saya menipu sedangkan lelongan itu memang dibuat tetapi bekalan durian yang terhad menyebabkan ia habis awal sehingga ramai pelanggan tidak sempat membelinya,” kata Ahmad Sukri Abdullah, 52, peniaga durian yang tular di media sosial berikutan pengumumannya untuk membuat lelongan durian berharga RM2 sebiji di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) ketika ditemui, kelmarin.

Lelongan durian yang dijalankan pada Sabtu itu tidak mencukupi sehingga ramai ‘hantu durian’ yang datang ke PBKP tidak sempat membeli seterusnya menjadi tular dan menerima kecaman netizen di media sosial kononnya jualan durian secara lelong itu hanya khabar angin dan strategi peniaga untuk melariskan jualan durian di pasar berkenaan.

Bagaimanapun sebagai tanda memohon maaf dan memenuhi permintaan pelanggan, Ahmad Sukri menganjurkan semula lelongan raja buah itu sebanyak 800 kilogram (kg) dengan harga RM1 dan RM2 sebiji dan berjaya dihabiskan dalam tempoh satu jam bermula jam 9 hingga 10 malam pada malam kelmarin.

Ahmad Sukri berasa sedih memikirkan kecaman orang ramai terhadapnya di media sosial berikutan lelongan durian yang dianjurkan sebagai jualan amal di PBKP serta dituduh sengaja menularkan usaha itu untuk menipu dan meraih perhatian pelanggan.

“Saya tidak menjangka video yang dirakam kenalan mengenai pengumuman saya mengenai lelongan durian berharga RM2 sebiji itu tular di media sosial sehingga membawa kepada kehadiran lebih tiga ribu peminat durian di PBKP Sabtu lalu.

“Memang saya memberitahu lelongan itu akan dijalankan pada jam 9 malam namun memandangkan kehadiran pelanggan terlalu ramai sehingga berlaku kesesakan lalu lintas selain mengenangkan ada pelanggan yang membawa anak, lelongan itu bermula lebih awal iaitu pada jam 8 malam.

“Bagaimanapun, lelongan durian pada hari berkenaan terhad iaitu sebanyak 400 kg durian seterusnya ia tidak mencukupi dan hanya sebahagian pelanggan yang sempat membeli manakala selebihnya pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Tambahnya, penggemar durian yang datang pada jam 9 malam tidak sempat mengikuti proses lelongan pada hari itu menyebabkan mereka mengecam dan menuduhnya menipu justeru dia berasa terpanggil untuk memperbetulkan keadaan dengan menganjurkan semula lelongan durian itu malah dengan harga yang lebih murah iaitu RM1 hingga RM2 sebiji.

“Lebih 1,000 pengunjung yang hadir dan setiap seorang hanya boleh membeli dengan jumlah RM10 dan semua durian itu laris dijual dalam tempoh satu jam.

“Saya mengehadkan jumlah pembelian itu untuk pastikan semua pelanggan yang datang dapat membeli durian dengan harga murah,” katanya.

Menurut Ahmad Sukri, durian kampung yang dilelong itu sepatutnya dijual dengan harga RM8 hingga RM10 sekilogram namun demi meraikan peminat durian di negeri ini dia ketepikan soal keuntungan dan meneruskan jualan lelongan itu.

“Saya memohon maaf kepada semua pelanggan yang hadir dan tidak sempat membeli durian dengan harga murah itu, saya akan menganjurkannya semula sekiranya bekalan buah itu mencukupi untuk memenuhi permintaan peminat durian pada masa akan datang, ” katanya – hmetro