IPOH, 5 DIS : Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Menurut Ahmad Faizal, peletakan jawatan itu turut melibatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, katanya, terserah kepada pihak istana untuk menentukan tarikh kuatkuasa peletakan jawatan itu.

Beliau memberitahu, warkah peletakan jawatan itu dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini, kira-kira jam 3 petang Sabtu.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah perletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya dalam sidang media khas di Laman Seri Ridzuan (kediaman lama Menteri Besar) di sini, hari ini.

 
Ahmad Faizal berkata, beliau dan barisan Exco menyampaikan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri, jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini.

Menurutnya, pengalaman itu adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran.
 

“Bagi pihak seluruh pentadbiran kerajaan negeri yang saya pimpin, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan ataupun setiap satu perkara yang tidak disenangi.

“Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna dan tentu ada berlaku salah dan silap. Ampun dan maaf dari saya,” ujarnya.

 
Beliau mendoakan agar Perak sentiasa dirahmati Allah, dijauhi dari segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat.

“Kita akan berjumpa kembali tidak berapa lama lagi. Demi rakyat, kerana Allah,” tambahnya.