TANJUNG MALIM: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tetap sayang dan menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun mereka tidak lagi bersama dalam satu parti.

Menurutnya, beliau masih merindui bekas Pengerusi Bersatu itu seperti beliau merindui Allahyarham ayahnya sendiri.

Malah, Ahmad Faizal berkata, beliau terhutang budi kepada bekas Perdana Menteri itu yang telah banyak mendidiknya.

“Memang sampai sekarang saya anggap dia sebagai ayahanda saya, tapi saya tak pernah mengaku orang lain sebagai bapak, bapak saya dah meninggal saya tetap kasih sayang kepada bapak saya dan ayahanda Tun saya hormat kasih dan rindu kat dia macam saya sayang dan rindu ayah saya sendiri,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selepas program sembang santai sahabat berjaya anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia.

Sebelum ini beberapa penceramah calon Bebas dikatakan menyindir Menteri Besar Perak itu kononnya pernah mengaku sebagai anak angkat Tun Mahathir.

“Sebagai seorang yang banyak menerima jasa saya rasa terhutang budi kepada beliau dan sentiasa mendoakan agar didikan telah berikan kelada saya, semua rakyat Malaysia dengan menhormati seorang pemimpin yang baik seperti Perdana Menteri sekarang saya doakan ayahanda Tun sendiri menuruti didikan beliau berikan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.