TANJUNG MALIM: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak ada masalah untuk menjalankan tanggungajawab sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin yang boleh memberi khidmat nasihat.

Menurutnya, beliau juga bernasib baik kerana mempunyai seorang Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat disenangi oleh ahli dan rakyat.

“Sebenarnya tugas sebagai Timbalan Presiden untuk membantu Presiden tetapi untuk memperkuatkan parti adalah tugas semua ahli dan juga pemimpin-pemimpin sedia ada.

“Jadi, saya tiada masalah untuk menjalankan tanggungjawab kerana saya fikir parti Bersatu ni lengkap pemimpin-pemimpin yang hebat-hebat yang boleh membantu saya,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim selepas program sembang santai sahabat berjaya anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia.

Menurutnya, pemilihan Bersatu yang baru sahaja selesai membuktikan parti itu menuju landasan yang baik dan akan bertambah kukuh.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kedudukan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di dalam Parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Bagaimanapun, katanya, Bersatu perlu mengadakan Persidangan Agung Luar Biasa bagi membincangkan beberapa perkara yang berkaitan.

“Persidangan Agung Luar Biasa untuk kita pinda perlembagaan untuk memastikan kita dapat menarik pemimpin-pemimpin termasuk yang bukan Melayu dan juga bukan Bumiputera untuk turut sama dalam perjuangan parti Bersatu,” ujarnya.

Beliau ditanya kemungkinan untuk melantik Azmin sebagai salah seorang Naib Presiden Lantikan selepas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengumumkan menyertai Bersatu.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin
berkata, Perhimpunan Agung Tahunan parti itu yang dijadualkan pada 26 Ssptrmber akan ditangguhkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang jatuh pada tarikh tersebut.

Menurutnya, beliau akan menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa terdekat untuk memaklumkan penangguhan itu.