GURUN: “Saya cuba beberapa kali menghubungi kedua-dua anak kembar tetapi tidak dapat, mungkin bateri telefon mereka habis. Ketika itu, saya berasa tidak sedap hati kerana sudah lewat malam,” kata Mohd Safwan Yaacob.

Beliau yang menetap di Taman Ria Mesra, di sini, adalah bapa kepada Nor Adilah Mohd Safwan, 21, yang meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada jam 4.23 petang tadi, akibat terhidu karbon monoksida ketika berehat di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Seberang Jaya.

Dua rakan mangsa yang menaiki kereta sama, turut meninggal dunia dalam insiden itu, manakala kembar Nor Adilah, Nor Aqilah pula masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur.

Menceritakan lanjut, Mohd Safwan berkata, beliau turut berusaha menghubungi dua rakan pasangan kembar itu tetapi gagal.

Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas dihubungi keluarga salah seorang daripada rakan anaknya itu lalu bergegas ke Hospital Angkatan Tentera Lumut.

“Ketika itu, hati saya agak berdebar kerana dimaklumkan bahawa kedua-dua anak tidak sedarkan diri.

“Namun tidak lama kemudian, saya dimaklumkan bahawa salah seorang rakan mereka sudah meninggal dunia, dan berdoa semoga anak saya dan seorang lagi rakan mereka selamat,” katanya.

Mohd Safwan berkata, dua anak kembarnya itu memang tidak pernah berpisah sejak kecil, malah sering bercuti bersama-sama.

“Kedua-duanya belajar dalam jurusan farmasi peringkat diploma di Kuala Lumpur dan memang selalu melancong ke Pulau Pinang apabila bercuti.

“Semalam, mereka meminta izin saya untuk pergi ke Pulau Jerejak bersama dua lagi rakan baik tetapi tidak disangka berakhir dengan tragedi,” katanya.

Mohd Safwan berkata, Nor Adilah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik, tiada menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian, malah sentiasa kelihatan ceria.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan berharap anak keduanya cepat sembuh.