KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menafikan dakwaan beliau menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentukan kerajaan baharu.

Idris dalam masa sama turut mengesahkan tidak pernah membuat sebarang keputusan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagaimana senarai nama 19 wakil rakyat UMNO yang tular hari ini.

“Saya tidak pernah dihubungi dan tidak pernah membuat keputusan menyokong Anwar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Idris yang juga Pengerusi Felda merupakan satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di negeri ini.

Selain Idris, antara yang turut disenaraikan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9 seperti tular ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN