PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hulu Selangor mengesahkan individu ditahan pihak berkuasa atas kesalahan dadah adalah pemimpin sayap pemuda parti politik berkenaan.

Ketua Bahagian PPBM Hulu Selangor, Badrul Hisham Jaafar berkata, ketua pemuda parti itu yang ditangkap di rumahnya Sabtu lalu sudah lama tidak aktif dalam pergerakan parti dan gagal menghadiri sebarang mesyuarat diadakan.

Beliau menganggap penahanan itu tidak memberi sebarang kesan kepada perjalanan parti. “Pada saya perkara ini tidak memberi impak apa pun (terhadap parti).

“Sebenarnya dia sudah tidak aktif sejak hampir tujuh bulan. Apabila tidak aktif kita abaikan sahaja sebab kita perlukan pemimpin yang agresif.

“Bagi saya kalau seseorang itu tidak aktif atau agresif kita lupakan saja,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP di pejabat PPBM di sini, hari ini.

Ketua sayap pemuda parti berusia 30 tahun itu sebelum ini, ditangkap sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Selangor di rumahnya di Kampung Tengah, Batang Kali di Kuala Kubu Bharu jam 2.15 pagi susulan maklumat awam.

Berita penahanan suspek yang dikaitkan dengan perbuatannya yang didakwa sering mengkritik kepimpinan Perdana Menteri itu turut tular di laman sosial sejak kelmarin.

Badrul Hisham berkata, beliau tidak mengenali rapat peribadi ketua pemuda parti itu tambahan lagi lelaki itu kerap tidak hadir sebarang mesyuarat diadakan.

Beliau juga mengakui tidak terkejut dengan penahanan suspek kerana menganggap ia perkara biasa membabitkan pesalah dadah.

“Kes ini masih dalam siasatan dan saya tidak boleh masuk campur,” katanya.

Suspek kini direman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu selama 14 hari bermula dari 14 hingga 27 April ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 – berita harian