KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao, akan ke Bukit Aman untuk proses rakaman keterangan, esok.

Beliau yang dihubungi BH, hari ini memaklumkan perkara itu di Bukit Aman jam 11 pagi.

Saya akan ke Bukit Aman, esok pada jam 11 pagi untuk memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Semalam, media melaporkan Rao akan ke Bukit Aman untuk proses rakam keterangan, hari ini.

Ia susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa keputusannya membuat akuan bersumpah (SD) berhubung kes liwat membabitkan seorang pemimpin parti politik sebelum ini, dipengaruhi beliau.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut selepas pihaknya menerima laporan berhubung isu SD itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilapor berkata, satu kertas siasatan dibuka Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk memastikan pendedahan dibuat dalam bentuk SD itu tulen.

Beliau berkata pesuruhjaya sumpah berkaitan SD itu turut diambil kenyataan untuk memastikan akuan itu tulen dan individu terbabit akan dipanggil semula bagi memberikan kerjasama dalam masa terdekat.

Baru-baru ini tular di media sosial membabitkan SD bertarikh 29 Jun lalu yang mendedahkan seorang lelaki dibayar RM300 oleh seorang ahli politik tempatan untuk melakukan hubungan songsang di sebuah hotel di Subang Jaya pada 2013.

Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan seorang individu membuat laporan polis berkaitan SD terbabit dengan mendakwa dirinya diperalat dan dipergunakan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk membuat tuduhan berkenaan. -BH