IPOH: Sebahagian ahli daripada 24 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak mengumumkan keluar keluar parti pada Isnin.

Hari ini hampir 300 orang hadir dalam majlis di sebuah hotel dan dijangka lebih ramai akan mengikuti jejak mereka selepas ini.

Jurucakap kumpulan itu yang juga Timbalan Pengerusi Penggerak Nasional KPKT, Id Azalan Shah Banyamin berkata, mereka menganggarkan antara 300 hingga 400 ahli daripada setiap cabang akan mengikut jejak mereka keluar parti.

Menurutnya, empat sebab mengapa mereka mengambil keputusan keluar parti iaitu pemecatan Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin; kegagalan menyatukan anggota parti; hilang fokus selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan kredibiliti parti tercalar.

“Pelbagai insiden berlaku dalam parti Keadilan, contohnya insiden merusuh di Kongres Nasional Angkatan Muda di MITC Melaka merupakan titik bengit kepada hilangnya kepada hilangnya rasa hormat ahli kepada Presiden sehingga menyebabkan ramai ahli yang keluar daripada Dewan Utama MITC ketika persidangan Kongres Nasional sedang berlangsung pada hari esok berikutnya.

“Baru-baru ini serangan membaling botol mineral, terhadap Naib Presiden Sdr Tian Chua ditampar, digelar perkataan yang tidak enak ketika beliau keluar daripada Ibu Pejabat parti ketika untuk memasuki kereta selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam kita anggap sebagai perbuatan yang sangat biadap,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media untuk mengumumkan keluar daripada PKR di Ipoh.

Sambil diiringi lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman, mereka menanggalkan baju PKR sebagai simbolik keluar parti.

Kumpulan tersebut mengakui bahawa mereka akan mengikuti Azmin dan Zuraida untuk menentukan hala tuju politik di masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam kenyataannya berkata, tindakan itu tidak langsung memberi impak kepada kekuatan parti di peringkat akar umbi kerana bilangan mereka yang keluar terlalu sedikit berbanding 70,000 keahlian sekarang.