IPOH – Perasaan bercampur-baur antara gembira dan sedih sepasang ibu bapa tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila mereka berdua tidak dapat menghadiri majlis akad nikah anak kedua mereka di pejabat agama di sini semalam.

Zulkarnain Saidin, 53, dan isteri, Harita Ahmad Salleh, 52, terpaksa melepaskan detik-detik indah majlis akad nikah anak mereka, Mohammad Faiz Izzuddin, 25, dan pasangan, Nur Shazlin Khairul, 26.

Mereka terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat anak sulung mereka, Muhammad Syafiq Rafiud­din, 27, yang disahkan positif Covid-19 kelmarin.

Zulkarnain yang merupakan bekas seorang jurugambar berkata, hati ibu bapa mana yang tidak sebak apabila tidak dapat hadir melihat majlis akad nikah anak sendiri.

“Hari ini (semalam) kami sepatutnya meraikan majlis akad nikah tersebut dengan gembira, apatah lagi ia juga merupakan sambutan ulang tahun hari jadi anak bongsu kami, Nur Farizsha Sofea yang ke-17.

“Bagaimanapun, perasaan gembira tersebut bertukar sedih apabila mengenangkan anak sulung yang ditahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam (kelmarin) selepas di­sahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menceritakan lanjut, air mata isterinya turut tumpah ketika mereka berdua sedang makan tengah hari semalam me­ngenangkan keadaan yang me­nimpa anak mereka.

“Kami reda walaupun dalam keadaan terpaksa. Arahan kerajaan perlu dipatuhi untuk mengekang wabak ini daripada terus merebak.

“Kami bersyukur dikurniakan kawan-kawan baik yang boleh menjadi wakil saya dan isteri sebagai pengganti dalam majlis akad nikah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Faiz Izzuddin berkata, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) hanya membenarkan beberapa orang terdekat untuk menyertai majlis akad nikahnya.

“Saya turut berasa risau dan sedih dengan keadaan abang, namun dalam masa sama gembira dengan pernikahan ini yang telah dirancang sekian lama.

“Majlis ini hanya dihadiri sekitar 12 orang terdiri daripada sepupu, rakan baik abah (Zulkarnain) serta ahli keluarga isteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE