BAGAN SERAI: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Daerah Kerian, menyaksikan bilangan mangsa banjir meningkat kepada 92 orang.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dibuka jam 7 malam tadi.

Katanya, PPS tersebut menempatkan 15 mangsa banjir dari Kampung Parit Abu Hassan Ban Alor Pongsu.

Pada Sabtu, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman bagi menempatkan 77 mangsa banjir dari lima buah kampung.

Kampung-kampung itu ialah Parit 3 Kampung Alir Setanggok, Kampung Tanjung Bugis Tebok Panchur, Kampung Parit 2 Padang Lalang, Kampung Parit Air Hitam 2, Kampung Ban Pisang.

Seramai 24 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat di dalam operasi pemindahan di PPS di SK Parit Haji Aman dan 17 di SK Alor Pongsu.