Sebuah unit apartmen di Bukit Antarabangsa di ibunegara terjejas dalam kejadian tanah runtuh petang semalam, kata Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul.

Beliau berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4 petang yang melaporkan berlaku runtuhan tanah di apartmen berkenaan.

“Sepasukan bomba penyelamat Ampang yang tiba di lokasi bagi memantau kejadian berkenaan mendapati berlaku pergerakan tanah sedalam lima meter,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sani berkata pemeriksaan selanjutnya telah dijalankan di sekitar kawasan apartmen itu, namun tidak menemui sebarang kerosakan teruk kecuali bahagian belakang apartmen berkenaan terjejas.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan perkara ini telah diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk tindakan seterusnya, katanya.

Sementara itu, hujan lebat yang melanda ibu negara petang semalam menyebabkan 11 jalan utama terjejas teruk akibat banjir kilat, kata Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani.

Beliau berkata hujan lebat yang turun secara berperingkat itu berlaku kira-kira jam 3 petang tadi mengakibatkan banjir di sebahagian Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Semantan, Jalan Maarof, Jalan Dutamas serta Jalan Duta.

“Jalan lain yang turut terjejas ialah sebahagian Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Putra, Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlaku kesesakan tetapi terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Samsol Maarif berkata pihaknya terpaksa menggunakan dua pam bagi menyedut air dari tingkat bawah tanah bangunan Wisma Teck di Jalan Tun Perak yang dinaiki bah setinggi 2.1 meter.

Selain itu katanya banjir turut menenggelami tingkat bawah tanah bangunan Bank Muamalat menyebabkan kira-kira 15 kenderaan terjejas.

Ditanya mengenai punca banjir kilat, Samsol Maarif berkata antaranya ialah Terowong SMART tidak melepaskan air selain kadar hujan yang tinggi iaitu 60 milimeter dalam tempoh satu jam.

-MalaysiaKini