NILAI : “Perasaan resah, bimbang dan takut sentiasa menyelubungi saya dan ahli keluarga teman wanita sepanjang sebulan terkurung dalam rumah di Wuhan apabila wilayah berkenaan dilanda wabak coronavirus (COVID-19),” kata kontraktor, Low Wang Lai.

Malah, impian percutian pemuda berusia 25 tahun dari Cheng, Melaka yang kali pertama ke Wuhan kerana mahu menemui teman wanitanya berusia 26 tahun dan ahli keluarganya tidak kesampaian sebaik tiba di bandar itu pada 29 Disember lalu.

Beliau berkata, ketika mula sampai di Wuhan keadaan belum begitu serius tetapi dalam beberapa hari suasana menjadi tidak menentu apabila penularan virus semakin serius dan pihak berkuasa di sana melarang melakukan sebarang urusan tidak penting di luar rumah kerana bimbang ancaman jangkitan virus berkenaan.

“Saya dapat saksikan keadaan di bandar Wuhan menjadi tidak tenteram apabila orang ramai menggunakan penutup hidung dan mulut sepanjang masa. Saya sudah merancang dengan teman wanita saya berasal dari bandar berkenaan untuk membawa bersiar-siar di bandar Wuhan, tetapi sebaik sampai di sana, saya dilarang ke luar rumah berikutan wilayah berkenaan mula dilanda COVID-19.

“Saya sepatutnya berada di sana sehingga pertengahan bulan ini untuk meluangkan masa bersama teman wanita dan ibu bapanya termasuk bagi membincangkan soal perkahwinan kami. Bagaimanapun saya langsung tak sempat melihat keindahan atau keunikan bandar Wuhan kerana dilarang keluar rumah sepanjang sebulan berada di sana.

“Saya, teman wanita dan ibu bapanya hanya makan, tidur, menonton televisyen dan kadang-kadang saya dan teman wanita bermain permainan video. Saya kemudian berhubung dengan pejabat kedutaan di sana untuk mendapatkan bantuan sebelum diselamatkan petugas untuk dibawa balik ke Malaysia ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wang Lai yang balik ke Malaysia pada 4 Februari lalu, antara 102 individu termasuk rakyat China yang dikenakan kuarantin selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, di sini.

Semua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas menjalani dua kali ujian dan pemeriksaan kesihatan oleh pasukan pemantau Covid-19 serta disahkan sihat.

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut menyifatkan pengalaman berada di Wuhan sukar dilupakan dalam hidupnya kerana suasana sebegitu tidak pernah dialaminya.

“Teman wanitanya turut memberitahu bahawa bapa dan isteri jirannya mati beberapa hari sebelum saya sampai di rumahnya akibat dijangkiti wabak koronavirus. Keadaan itu membuatkan saya takut untuk tinggal lebih lama di Wuhan dan mengambil keputusan memendekkan percutian di sana,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya itu pada Julai depan, mungkin terpaksa ditangguhkan sehingga wabak koronavirus reda.

Beliau akui lega selepas disahkan sihat dan bebas koronavirus serta dapat pulang kembali ke pangkuan keluarga di Melaka dan berterima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada enam anggota pasukan petugas pemantau Malaysia yang membantunya ketika urusan balik ke tanah air pada 4 Februari lalu.