MARAN: “Saya maafkan perbuatan isteri dan tidak menolak kemungkinan akan menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Namun, undang-undang lebih ‘kuat’ daripada saya untuk menentukan nasib seseorang,” demikian luahan Muhammad Rizal Jusoh, 42, bapa kepada Muhammad Nur Rashdan berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat dikelar ibu kandung di FELDA Jengka 13, di sini, malam kelmarin.

Muhammad Rizal berkata, dia akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada sanak saudara termasuk keluarga sebelah isteri, sama ada mahu membiarkan undang-undang menjatuhkan hukuman atau menarik semula laporan.

Katanya, dia turut mengesahkan kejadian itu berlaku tanpa disedari isterinya dan menolak dakwaan sesetengah pihak membuat spekulasi mengatakan suspek sedar ketika menggelar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

“Sedangkan Allah memaafkan umatnya apatah lagi manusia biasa seperti saya.

“Hidup saya tidak lengkap tanpa dia (isteri) dan siapa yang hendak menjaga makan minum dua lagi anak Mohamad Nur Rusyaidi, 7, dan Mohamad Rafiuddin, 5.

“Dia (isteri) memang tidak sedar kerana dia boleh tanya semula apa yang berlaku dan siapa yang bunuh Muhammad Nur Rashdan,” katanya ketika ditemui di rumah hari ini.

Ketika pengebumian jenazah Muhammad Nur Rashdan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Jengka 13 kelmarin, Mohamad Nur Rusyaidi dan Mohamad Rafiuddin kelihatan sugul, namun mengerti apa yang sebenar berlaku.

Dalam kejadian itu, mangsa anak bongsu daripada tiga beradik disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Suspek mengelar anaknya selepas membawa masuk ke dalam bilik sebaik sahaja selesai membaca al-Quran di dalam sebuah bilik lain.

Kejadian disedari Muhammad Rizal selepas terdengar suara mangsa merengek lemah dan berasa pelik sebelum masuk bilik melakukan pemeriksaan.

Wanita itu kini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu di Lokap Balai Polis Maran bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Asmadi Mahayudin di Mahkamah Majistret Maran kira-kira jam 12

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh – berita harian