Kuala Lumpur: Mampu berkereta mewah dan sering keluar negara untuk bermain golf, itu antara gaya hidup berlebihan yang dikesan dalam kalangan segelintir pegawai dan anggota polis, walaupun tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan yang diperoleh.

Cara hidup ‘ala orang kaya’ itu dengan bangganya dikongsikan menerusi laman sosial peribadi masing-masing, sehingga mendatangkan tanda tanya terutama dalam kalangan orang awam, tentang sumber kekayaan yang diperoleh untuk membiayai perkara itu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang memantau rapi trend itu untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga intergriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya diberitahu ada anggota sering bermain golf selain membuat taruhan dalam aktiviti itu. Kalau dilihat bermain di kelab golf bertaraf sederhana sahaja, sekali bermain memerlukan kos RM200… kalau sebulan dah berapa perbelanjaan digunakan?

“Ada juga yang didapati kerap ke luar negeri untuk bermain sukan berkenan sedangkan ia melibatkan pembiayaan tinggi. Apabila diperiksa berdasarkan jawatan atau pendapatan, sebenarnya mereka tidak mampu untuk menampungnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu Zamri berkata pihaknya turut mengesan ada pegawai yang hanya berpangkat Inspektor, namun mampu membeli kereta serta memiliki rumah mewah yang diragukan sumber perolehannya.

Sehubungan itu, katanya anggota dan pegawai yang telah dikenal pasti itu akan diminta memberi penjelasan tentang sumber kewangan diperoleh, bagi membiayai cara hidup mewah itu.

“Jika tidak dapat memberikan justifikasi, mereka akan berdepan tindakan lanjut,” tegasnya.

Jelasnya sebagai seorang penjawat awam dan anggota badan beruniform, mereka perlu mengelakkan sebarang perbuatan salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan polis.

Zamri turut memaklumkan pihaknya turut memberi perhatian terhadap majlis keramaian yang diadakan PDRM.

Menurutnya majlis keramaian di peringkat kontinjen Bukit Aman terikat dengan peruntukan kerajaan dan mempunyai hadnya sendiri untuk digunakan.

Hal itu kadang kala memerlukan peruntukan luar yang diperoleh secara rasmi atau sebaliknya.

“Biasanya peruntukan yang rasmi itu tidak banyak berbanding secara tidak rasmi, menyebabkan ada anggota yang terdedah dengan aktiviti rasuah dan sebagainya.

“Contohnya apabila mereka mendapat peruntukan itu dari pusat hiburan atau kelab malam di luar sana, ia menyebabkan mereka terikat, bahkan tidak dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan jenayah, melibatkan premis itu pada masa akan datang,” katanya.