IPOH: Kerajaan negeri akan mengadakan kajian menyeluruh ke atas kubu perlindungan bawah tanah yang ditemui berdekatan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian itu akan menentukan kesahihan kubu itu yang dikatakan dibina pada Perang Dunia Kedua, sebelum ia dijadikan sebagai produk pelancongan terbaharu di Perak.

Katanya, kajian itu akan dibuat dengan melibatkan jabatan-jabatan berkaitan termasuk jabatan kerajaan Persekutuan.

“Kawasan ini berpotensi untuk menarik pelancong namun ia tertakluk kepada pengesahan mengenai tempoh ia dibina, sama ada terdapat lagi kubu seperti ini di kawasan sekitarnya atau adakah ia selamat untuk orang awam, dan sebagainya.

“Kita juga perlu meminta jawapan dari pihak berkuasa Persekutuan sama ada ia (kubu) merupakan kawasan berkaitan keselamatan negara atau tidak, sebelum kita boleh melakukan sebarang rancangan mengenainya,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di kubu tersebut di sini pada Rabu.

Tambah Dr Zambry, sekiranya kajian menyeluruh itu dapat dijalankan secara lancar dan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan untuk membangunkan kawasan berkenaan, kubu tersebut akan dijadikan sebagai produk pelancongan warisan.

“Ianya amat menarik kerana kita tahu Ipoh merupakan salah tempat pertempuran (Perang Dunia Kedua) di antara British dan Jepun, termasuk di Kampar yang mana sehingga kini masih ramai datang ke sana untuk membuat kajian.

“Jadi, jika kubu ini dapat dibangunkan sebagai kawasan tarikan sejarah pastinya ia mempunyai nilai tinggi, sama seperti konsep yang dilaksanakan di Vietnam,” ujar beliau.

Terdahulu, Dr Zambry meninjau struktur kubu bawah tanah itu yang dipercayai dibina sekitar tahun 1940 sehingga 1941 oleh kontraktor dari China bagi membolehkan tentera British berselindung daripada serangan udara tentera Jepun.

Kubu berkeluasan 9×9 meter dengan ketinggian 2.5 meter itu boleh memuatkan antara 30 hingga 40 orang pada satu-satu masa.

MB-Kubu 2