PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad 23 tahun negara (B-23) selepas menampilkan persembahan cemerlang sehingga mampu layak ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 sebelum terkandas di tangan gergasi Asia, Korea Selatan, kelmarin.

Menurutnya, semua pemain dan barisan kejurulatihan perlu bangga dengan pencapaian yang dilakar biarpun tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

“Walaupun kita berasa kecewa dengan keputusan hari ini, semua pemain dan barisan kejurulatihan patut berasa bangga dengan pencapaian ini.

“Anda semua telah berjaya mencipta sejarah untuk mewakili negara sehingga berada di peringkat ini. Sejarah ini tidak akan dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Kata Tunku Ismail lagi, keputusan yang diperoleh ini juga perlu dijadikan sebagai pengajaran untuk meningkatkan corak persembahan dan pengalaman pada masa depan.

-SinarHarian