TELUK INTAN: Kira-kira sejuta penduduk Lembah Klang dijangka menikmati manfaat daripada Program My30 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meringankan beban kos pengangkutan.

Sebelum penularan pendamik COVID-19, lebih 800,000 warga Lembah Klang menggunakan perkhidmatan yang diselia Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) iaitu LRT, MRT, Monorail dan Rapid Bus.

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Prasarana mengendalikan kira-kira 24 juta penumpang sebulan.

“Penumpang yang akan menggunakan keempat-empat kemudahan pengangkutan ini dijangka kalau keadaan wabak pulih kembali normal kita sebelum ni hari tu mengangkut hampir 800,000 orang satu hari.

“Jadi semua mereka yang akan menaiki LRT, MRT, rapid apa semua ni berapa ramai pun akan mendapat faedah bantuan daripada pihak Prasarana, daripada kerajaan, melalui Prasarana,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 14 keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Langkap, pada Ahad.

Pada Jumaat, Perdana Menteri
semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berkata Program MY30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang berkuatkuasa 15 Jun hingga hujung 2020.

Tajuddin berkata, program itu yang dikhaskan untuk warganegara sahaja akan dilancarkan 16 Jun depan dan maklumat lanjut mengenainya akan dijelaskan pada hari tersebut.