KUALA LUMPUR : Ketika isu khat Jawi dalam sukatan pelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina hangat dibincangkan masyarakat Tionghua, beberapa pemimpin persatuan Cina pula dilaporkan menyarakankan setiap aliran sekolah di Malaysia saling mempelajari seni tulisan antara kaum lain.

Hal ini dimaklumkan penyelidik bebas sejarah Tang Ah Chai yang berkata cadangan berkenaan ditimbulkan dalam pertemuan Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersama beberapa pemimpin persatuan Cina pada 1 Ogos lalu.

Antara yang hadir Timbalan presiden Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Yew Sing dan penganalisis politik terkenal Wong Chin Huat..

Menurut Tang yang ikut berada dalam pertemuan itu, mereka berbincang dan bertukar pandangan bersama Dr Maszlee mengenai isu seni khat Jawi dalam sukatan pelajaran di sekolah Cina.

Tang berkata persatuan masyarakat Cina mencadangkan, “lebih baik seluruh aliran sekolah dapat mempelajari kehalusan bahasa masing-masing.

“Untuk mengelakkan persepsi masyarakat bahawa kementerian melaksanakan polisi secara unilateral, lebih baik seluruh aliran sekolah dapat mempelajari kehalusan bahasa masing-masing.

“Contohnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diperkenalkan penghayatan tulisan khat Jawi, Sekolah Kebangsaan diperkenalkan penghayatan kaligrafi Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil diperkenalkan penulisan Kaloi.

“Pendekatan ini dapat menghapuskan kebimbangan masyarakat Cina serta membantu pertukaran budaya masing-masing,” katanya pada suatu hantaran di Facebook hari ini.

Menjelaskan lanjut, Tang berkata secara peribadi beliau tidak merasa takut atau menolak tulisan Jawi, malah pengenalan beberapa tulisan Jawi kepada murid darjah 4 tidak akan menjejaskan pendidikan Cina.

Bagaimanapun, kata Tang, “oleh kerana maklum balas masyarakat Cina semakin kuat, maka isu tersebut tidak boleh dipandang remeh.”

“Perselisihan masyarakat kemungkinan bertambah buruk jikalau isu ini tidak ditangani dengan baik,

“(Masyarakat Cina) telah mengumpulkan aduan kerana Pakatan Harapan tidak menunaikan janji, beberapa polisi Kementerian Pendidikan yang kontroversi, UEC belum diiktiraf, papan tanda Selangor.

“Kebanyakan orang (Cina) bertanya-tanya mengenai keperluan dan keberkesanan dalam isu khat ini,” katanya.

Tang berkata kehadiran pemimpin persatuan masyarakat Cina bertemu menteri pendidikan bukan untuk menyokong dasar kementerian tetapi untuk mencari jalan penyelesaian dengan meneroka pelbagai perspektif.

Menurut Tang, yang juga bekas ketua eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor berkata kementerian perlu membuat keputusan mengenai saranan yang dikemukakan kepada menteri pendidikan.

Katanya, bagi memperbaiki pembelajaran bahasa Melayu, kementerian disaran untuk “menangguhkan perlaksanaan sukatan pelajaran khat Jawi dan menggantikan pembelajaran tulisan khat Jawi dengan pantun.”

Katanya lagi, persatuan Cina itu juga mencadangkan kementerian “untuk menjadikan kursus (belajar Jawi) ini sebagai mata pelajaran elektif untuk sesiapa yang berminat dan bukan dijadikan mata pelajaran wajib.”

“Oleh kerana khat Jawi tidak disenaraikan dalam bidang peperiksaan, kementerian disaran untuk menjadikan khusus ini sebagai mata pelajaran elektif untuk sesiapa yang berminat dan bukan dijadikan mata pelajaran wajib.

“Di kelas kokurikulum, setiap aliran sekolah boleh diperkenalkan seni khat Jawi, kaligrafi Cina … untuk memupuk pengantaran budaya,” katanya.

Akhbar Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan subjek khat Jawi akan diperkenalkan dalam kurikulum Bahasa Melayu darjah empat di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Ekoran laporan itu Adun Tras, Chow Yu Hui, mengetuai sekumpulan anggota DAP mengeluarkan kenyataan bagi membantah polisi tersebut.

Sementara itu Kementerian Pendidikan memberitahu kerajaan akan meneruskan rancangan untuk memperkenal tulisan khat Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu darjah empat pada tahun depan. –Malaysiakini