SLIM RIVER: Selain daripada bekalan air dan elektrik, kerajaan turut memberi fokus untuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan perkampungan Orang Asli.

Bagi tujuan tersebut, Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang menyediakan infrastruktur untuk meningkat perkhidmatan jalur lebar dari 3G kepada 4G.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi contoh Kampung Orang Asli Sungai Teras di Slim akan menikmati perkhidmatan jalur lebar 4G menjelang tahun hadapan.

“Kita pun sedang bina dua menara tambahan dan perancangannya lima menara akan dibincang kemudian.

“Jadi kita meninjau kawasan-kawasan yang patut kita letak menara-menara tersebut, termasuk di sini kerana kekuatan jalur lebar di sini agak lemah,” katanya.

Beliau ditemui ketika program Santai Bersama Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Teras, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bakal menikmati liputan internet 4G selewat-lewatnya tahun depan.

Menurutnya, akses itu bakal dinikmati apabila dua menara telekomunikasi yang dibina di Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai dijangka siap hujung tahun ini, manakala lima lagi yang dalam perancangan di Felda Besout disasar siap pada suku kedua tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata, sumbangan Jalur Gemilang kepada masyarakat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak harus dijadikan isu politik

Menurutnya, ia bertujuan untuk menanam semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk di DUN Slim.

Tambahan pula, katanya, perkara itu adalah kelaziman yang dilakukan Jabatan Penerangan setiap kali bulan kemerdekaan.