London: Eric Dier dilihat berlari memasuki terowong untuk pergi ke tandas kerana ingin membuang air kecil ketika perlawanan Piala Liga antara Tottenham dan Chelsea yang kemudian menyaksikan Jose Mourinho berlari mencari pemain itu.

Dengan berbaki 15 minit permainan dan Spurs ketinggalan 0-1, pemain antarabangsa England itu dengan selamba meninggalkan padang.

Ramai yang berasakan Dier ditukarkan sehinggalah Mourinho dilihat mengejar pemain itu.

Tidak lama kemudian, pertahanan Spurs itu kembali ke padang. Dier dikatakan berlari kerana mahu menggunakan tandas.

DIER berseloroh apabila berkongsi gambar bersama anugerah pemain terbaik perlawanan yang diletakkan di atas mangkuk tandas. FOTO Agensi

Ia kemudian disahkan oleh Mourinho dan Dier yang berseloroh apabila berkongsi gambar bersama anugerah pemain terbaik perlawanan yang diletakkan di atas mangkuk tandas selepas tamat perlawanan.

Mourinho berkata: “Ia adalah sesuatu yang normal apabila terasa hendak buang air kecil. Saya perlu mendesaknya kembali semula ke padang.”

Dier kemudian menambah: “Jose mungkin tak gembira dengan tindakan saya, tetapi ia adalah sesuatu yang normal.”

Spurs memenangi perlawanan itu menerusi penentuan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar.