IPOH: Sambutan ambang kemerdekaan tahun ini menampilkan satu kelainan apabila lebih 10,000 pengunjung berselawat sempena program Sayangi Malaysiaku Qasidah dan Selawat yang diadakan di Bulatan Amanjaya di sini tengah malam tadi.

Pengunjung mulai hadir ke program itu sekitar jam 6 petang untuk melihat pesembahan Qasidah sebelum solat maghrib berjemaah beramai-ramai.

Program itu kemudiannya disambung semula dengan persembahan Qasidah serta disusuli dengan persembahan Ali XPDC, Ejam Medicine dan kumpulan nasyid popular negara Rabbani sebelum sembang santai Akhil Hayy serta Reyno Meg.

Program sempena sambutan Hari Kebangsaan itu diadakan sementara menunggu detik ambang merdeka dan sejurus tepat jam 12 tengah malam, suara berselawat oleh pengunjung bergema dan sambutan malam ambang telah ditutup dengan bacaan doa.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang hadir merasmikan program berkenaan berkata, program berselawat berkenaan selari dengan tema Sayangi Malaysiaku untuk meraikan kemerdekaan serta meningkatkan semangat cintakan negara di kalangan rakyat.