RIYADH: Masjidil Haram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertama pada Ahad selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19.

Sejak pertengahan Mac lalu, Arab Saudi mengambil pendekatan drastik bagi memerangi penularan COVID-19 dengan menggantung pelaksanaan ibadat umrah dan ibadat solat di Masjidil Haram.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung penerbangan antarabangsa dan melaksanakan perintah berkurung bagi mengelakkan peningkatan kes berikutan pandemik itu.

Bagi menampung kuota 6,000 jemaah yang dibenarkan dalam masa sehari, Kementerian Haji dan Umrah menyediakan lima lokasi berasingan termasuk di Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha, bagi membolehkan jemaah bersama petugas kesihatan profesional menaiki bas ke Masjidl Haram.

Kedatangan kumpulan jemaah pertama tersebut sambut dengan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk mesin pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram bagi memantau suhu badan dan mengeluarkan amaran berdasarkan keperluan.

Kira-kira 1,000 petugas sudah dilatih bagi memantau sepanjang proses ibadat umrah di Masjidil Haram.