SUNGKAI: Walaupun hanya tidur kira-kira tiga jam sehari sepanjang enam hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz masih cergas seperti biasa.

Sejak hari pertama Mohd Zaidi, 43, berkempen hingga jam 12 malam dan akan menyemak mesej yang diterima sebelum tidur sekitar jam 1 pagi.

Menurutnya, dia banyak minum banyak air masak di samping mengambil vitamin C dan makanan tambahan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang kempen.

“Pagi kena bangun awal sebab memang ayah saya memang pesan, kalau kita nak sihat, bangun awal pagi dan mandi.

“Mandi tu dia akan beri kesegaran pada kita. Kalau kita bangun pagi, ambil air sembahyang, solat suboh, lepas tu tidur balik, kita akan lemau lah.

“Sebab itu suboh tu bangun pukul 5, pukul 5.30 tu bangun, kita rehat sekejap minum air masuk and then kita mandi, lepas tu sembahyang Suboh apa semua,” katanya.

Beliau ditemui dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai, hari ini.

Pengalaman sepanjang berkecimpung dalam persatuan belia sejak tahun 2001, termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), banyak membantu melancarkan perjalanan kempennya.

Mengenai kemungkinan hujung minggu ini akan lebih sibuk sempena cuti sekolah sehingga Isnin, Mohd Zaidi berkata, beliau akan cuba memenuhi jadual yang ditetapkan.

“Saya dah dimaklumkan oleh sekretariat CC Command Center bahawa ada beberapa pemimpin utama kerajaan, menteri kabinet, pemimpin utama parti akan turun nanti dan saya ikut kepada jadual yang keluar, yang mana keperluan untuk saya hadir, saya akan hadir.

“Mana yang tak dapat tu, saya minta maaflah. Apapun saya serah kepada pihak sekretariat untuk menentukan jadual, saya follow yang tu,” ujarnya.

Walaupun berbaki lebih seminggu sehingga hari mengundi 29 Ogos depan, calon BN itu telah memasuki pusingan kedua kempen bersama jentera parti.