IPOH: Selepas kes `makcik degil gelang pink’, yang tular kerana makan di sebuah kafe di sini ketika menjalani kuarantin baru-baru ini, satu lagi kes tular mengenai seorang pelanggan kedai makan di Ipoh yang kelihatan memakai gelang yang sama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya telah menerima aduan mengenai seorang pelanggan kedai makan yang kelihatan memakai wrisband Person Under Surveillance (PUS)

“Laporan polis telah dibuat dan pihak JKN Perak sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk untuk mengenalpasti individu terbabit,” katanya dalam kenyataan ringkas melalui aplikasi Whatsapp hari ini.

Berdasarkan gambar yang tular, wanita tersebut dikatakan sedang membawa makanan di sebuah restoran di Fair Park di sini.

Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.

Foto wanita tersebut yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya di sini jelas menunjukkan gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan beliau di bawah perintah kuarantin COVID-19.

Pada 29 Julai lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menghentikan siasatan berkaitan kes ‘makcik degil gelang pink’ itu.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini siasatan tersebut akan diteruskan oleh JKN Perak.