IPOH, 23 Nov: Sebanyak RM 32.31 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi mengatasi isu banjir dan masalah bekalan air di sekitar kawasan Sitiawan, Manjung.

Menurut Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun antara penyelesaian segera yang diambil adalah pembinaan struktur pembentung konkrit termasuk memasang pintu automatik “flap gate” di Kampung Ulu Kayan.

“Pembinaan ini akan menelan belanja RM 200,000 dan akan memakan masa 16 minggu untuk disiapkan.

“Ia akan menyelesaikan isu banjir dan kemasukan air di Parit Besar dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan khususnya di daerah Perak Tengah dan Manjung.

“Bagi mengatasi isu tekanan air yang rendah di Kampung Lekir dan Kampung Kayan, Lembaga Air Perak (LAP) akan menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) di Teluk Kepayang dan membina sistem kolam simpanan ternaik di Batu 12, Lekir,”katanya.

Selain itu katanya, langkah lain adalah dengan pemasangan paip bersaiz 450 milimeter dari Batu 8 Lekir ke Kolam Simpanan Batu 12 Lekir dan 300 milimeter ke kawasan Kayan.

“Ada kemungkinan paip yang sedia ada tertimbus dengan dalam lalu pelebaran dan juga pembinaan jalan WCE jadi pihak LAP susah untuk mengesannya.

“Kerana paip sedia ada bukan paip besi jadi susah nak kesan walau apa pun pihak LAP berusaha siang dan malam untuk mengenalpasti di mana kebocoran berlaku,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Katanya lagi, kesemua projek itu dijangka siap pada tahun hadapan.

Terdahulu, Mohd Zolkafly mengadakan tinjauan banjir di Kampung Ulu Kuang, Chemor.