IPOH: DAP Perak dinasihati menyelesaikan isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu terlebih dahulu sebelum mempertikaikan persidangan sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan Selasa lalu.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, tindakan ahli-ahli DAP yang mempertikai tempoh sidang DUN tidak akan membantu menyelamatkan parti pembangkang itu.
“DAP Perak tidak wajar mempertikaikan persidangan sehari DUN, sebaliknya perlu menasihatkan pucuk pimpinan partinya mengadakan CEC seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Tindakan mempertikaikan sidang sehari DUN Perak tidak boleh membantu menyelamatkan DAP yang kini berada di hujung tanduk, kerana kemungkinan parti itu diharamkan atas sikap degil para pemimpinnya yang enggan mematuhi arahan ROS,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh (ADUN Canning) dalam sebuah akhbar hari ini yang mempertikai tempoh persidangan DUN Perak pada Selasa lalu.
“Sebaiknya Kah Woh selaku Ketua DAPSY mengambil perhatian lebih terhadap nasib DAP yang sudah hampir berkubur, daripada mempertikaikan sidang DUN Perak yang dijalankan mengikut undang-undang.
“Berkaitan label 3P (penakut, penipu dan perosak) yang diberikan oleh Kah Woh kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, sebenarnya pucuk pimpinan DAP-lah yang layak mendapat gelaran itu,” tambahnya Mohd Khusairi yang juga merupakan ADUN Slim dan Ketua Penerangan UMNO Perak.
Sebelum ini, ROS telah membatalkan mesyuarat pemilihan anggota CEC  parti itu yang diadakan kali kedua pada 29 September 2013 kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
Pada 17 Julai lalu, ROS telah memberi tempoh 14 hari kepada DAP untuk mengemukakan maklumbalas berkaitan arahan supaya pemilihan anggota CEC dilakukan semula mengikut senarai perwakilan yang berhak hadir dan mengundi seperti mesyuaratnya pada 15 Disember 2012.