IPOH : Gara-gara perselisihan faham mengenai ikatan pertunangan, seorang anggota polis berpangkat Inspektor melepaskan tembakan di luar sebuah rumah di Taman Merdeka di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, pegawai terbabit yang berusia 29 tahun dikatakan mengamuk sebelum melepaskan tembakan dan terkena pada kaki seekor anjing peliharaan tunangnya.

Pegawai yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Wang Kelian itu kemudiannya melarikan diri menggunakan motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) jenis Kawasaki sebelum diberkas anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Labrooy di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sebelum kejadian tersebut, pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu dilaporkan tidak hadir bertugas di ICQ Wang Kelian pada Jumaat lalu.

Katanya, laporan mengenai kehilangan pegawai terbabit telah dilakukan pihak polis kelmarin.

“Pegawai terbabit pergi ke rumah tunangnya yang berusia 20-an dan dipercayai berlaku pergaduhan antara mereka berdua sebelum lelaki itu bertindak melepaskan tembakan.

“Tembakan menggunakan sepucuk pistol itu terkena pada kaki seekor anjing sebelum lelaki itu melarikan diri. Dia bagaimanapun berjaya ditahan oleh dua anggota MPV Ipoh,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah yang memangku jawatan tersebut sejak Ogos lalu.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ipoh antara Norlima Abdullah dengan Adura Mohamed dengan disaksikan Datin Zainah Othman.-UTUSAN ONLINE