LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan sebuah bot pancung membawa keluar barangan kawalan di perairan FELDA Sahabat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan memecut laju menuju ke sempadan perairan negara.

Ketua Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael, berkata sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot pancung itu berpatah balik pada jarak 0.4 batu nautika utara di Kampung Ipil.

“Bot peronda Maritim Malaysia mengejar bot pancung berkenaan sehingga ke tepi pantai berdekatan namun tekong bot sempat melarikan diri ke kawasan semak.

“Pemeriksaan pada bot berkenaan mendapati ia membawa muatan 45 gelen minyak petrol dan 36 pek minyak masak,” katanya menerusi kenyataan, di sini.

Radzil Allexender berkata, pihak Maritim Malaysia akan terus membanteras kegiatan dan sindiket yang cuba memindah barang kawalan yang tidak mengikut garis panduan sedia ada khususnya di perairan daerah ini.

“Barang rampasan dan bot dibawa ke Pos Maritim Lahad Datu dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya – berita harian