Lumut, 31 DIS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lapan tong belangkas dari Indonesia yang dianggarkan seberat 466kg di pintu masuk MAQIS,Pelabuhan Lumut, di sini semalam.

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman berkata, semasa pemeriksaan tong ikan dari kapal import dijalankan, belangkas itu diletakkan dalam tong sama yang berisi dengan ikan.

“Belangkas yang bernilai RM 4,660 itu diletakkan di bahagian bawah timbunan ikan bagi mengaburi mata pegawai penguatkuasa MAQIS.

“Kesemua belangkas tersebut tidak mempunyai Permit Import yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tegasnya lagi, kegiatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan MAQIS merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Ujarnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(2) Akta yang sama.

Katanya, pihak MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu masuk negara dengan teliti untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.