Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir tiga tan dianggarkan bernilai RM60 juta yang diseludup masuk ke negara ini melalui Thailand, sepanjang tahun lalu hingga bulan ini.

Antara dadah dirampas adalah methamphetamine, kanabis, heroin base, ketamin, 30,000 pil ekstasi, 1,100 erimin 5 dan 2,220 pil khayal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, semua dadah itu dirampas menerusi perkongsian maklumat dan siasatan bersama Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

Beliau berkata, hasil kerjasama PNSB dan PDRM menghasilkan banyak kejayaan dengan rampasan semua bahan terlarang itu yang kebanyakannya dibawa masuk sindiket negara jiran.

“Banyak sindiket dadah antarabangsa ini ditumpaskan PNSB. Sindiket itu sudah membolosi sekatan dan sempadan masuk negara ini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Ketua PNSB, Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk bersama 10 pegawai biro di Bukit Aman di sini, semalam.

Mohmad berkata, PDRM menjalinkan kerjasama dengan PNSB hampir 40 tahun dan mereka menyokong penuh serta berkongsi maklumat risikan dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah.

“Kita kena ingat dadah yang masuk ke Thailand dan ke Malaysia sebenarnya dari negara jiran yang berjaya melepasi penguatkuasaan PNSB, ingin saya tegaskan sekali lagi Malaysia bukan negara yang dijadikan hab pengedaran dadah,” katanya.

Sementara itu, Sommai bercakap melalui penterjemah, mendedahkan 150 rakyat Malaysia terbabit dadah di Thailand dan ada antaranya sudah dijatuhi hukuman dan ada yang sedang didakwa – hmetro