IPOH – Karnival Kreativiti dan Sains 4U 2017 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak 2010 dilihat mampu meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi orang ramai khususnya pelajar mengenai kepentingan sains.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, karnival tahunan sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia itu dapat menyokong teras digariskan dalam Dasar Sains dan Teknologi Negara (DSTIN) dengan membudayakan serta menggalakkan pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat.

“Kita mengalu-alukan penganjuran Karnival Sains 4U dan Kreativiti 2017 yang diadakan di Perak. Kita ucapkan terima kasih kepada pihak MOSTI yang pilih Perak dan saya lihat begitu ramai pengunjung datang untuk dapatkan maklumat terus daripada pegawai MOSTI.

“Ia selari hasrat kerajaan negeri yang berminat dalam bidang Sains dan Inovasi. Insya-Allah, untuk jangka panjang, kita sedia bekerjasama dengan MOSTI untuk anjurkan karnival lebih besar agar dapat menarik lebih ramai pengunjung,” katanya pada sidang media sempena karnival berkenaan.

Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang karnival yang berlangsung pada 22 hingga 23 Mac lalu, kepada pengunjung melibatkan 32 gerai jualan dan pada hari pertama sahaja sudah merekodkan 4,200 pengunjung.

Muhammad Amin berkata, nisbah 60 peratus pelajar bidang sains dan teknologi dan 40 peratus bagi bidang lain masih belum berjaya dicapai dengan sempurna sehingga hari ini.

Katanya, peningkatan dalam kedua-dua peratusan berkenaan juga tidak begitu ketara dan berdasarkan mesyuarat baru-baru ini, peratusan ini akan cuba dikekalkan bagi mencapai peningkatan peratusan yang baik mengikut nisbah 60 peratus kepada bidang sains dan teknologi manakala 40 peratus lagi dalam bidang lain.

“Nisbah 60 peratus itu perlu dalam bidang sains dan teknologi dan 40 peratus dalam bidang lain, tak semestinya bidang sastera, boleh jadi dalam bidang ekonomi atau bidang agama.

“Tapi sampai sekarang kita masih belum berjaya capai. Sebab itu kita tak ada data mengenainya.

“Bagaimanapun dalam mesyuarat baru-baru ini kita akan pelbagaikan bidang sains itu sendiri agar lebih ramai pelajar yang meminati bidang sains dan teknologi,” katanya.

-SinarHarian