IPOH, 23 Okt  — Orang ramai di Perak yang telah mendaftar sebagai pemilih baharu dan bertukar alamat tempat mengundi, boleh menyemak rang daftar pemilih tambahan suku tahun ketiga tahun 2020, yang akan dipamerkan selama 14 hari bermula Rabu depan.

Pejabat Pilihan Raya negeri Perak memaklumkan, semakan boleh dibuat di 138 tempat pameran terdiri daripada Pejabat Pilihan Raya negeri Perak, pejabat daerah, pejabat Pihak Berkuasa Tempatan, pejabat penghulu dan pejabat pos terpilih di seluruh negeri.

“Mereka yang telah mendaftar pada Julai 2020 sehingga Sept 2020 perlu menyemak nama di tempat yang dinyatakan sehingga 10 Nov ini,” demikian menurut kenyataan Pejabat Pilihan Raya negeri Perak di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, sebarang tuntutan atau bantahan boleh dibuat dengan menghubungi Pejabat Pilihan Raya negeri Perak di Bangunan Persekutuan di sini dalam tempoh 14 hari tersebut.