MANJUNG: Hujan lebat bermula jam 3 petang Jumaat menyebabkan sembilan kawasan di sekitar Sitiawan, dekat sini, dilanda banjir kilat kira-kira setengah meter.

Antara kawasan itu ialah Klinik Pergigian Sitiawan, Taman Seri Mawar, Kampung Serdang, Taman Serdang, Taman Sri Koh, Taman Harmoni, Taman Sitiawan Maju, Taman Singa Baru dan Taman Seri Acheh 2.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung berkata, pihaknya masih membuat pengiraan bilangan rumah yang terjejas.

“Angkatan Pertahanan Awan masih membuat pemantauan. Banjir berlaku disebabkan hujan lebat dalam masa yang lama dan masih renyai-renyai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Menurut jurucakap itu, paras air dijangka meningkat sekiranya hujan masih tidak berhenti di semua kawasan yang terlibat.