Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Lima sekeluarga tidak sempat bersahur setelah rumah kayu yang didiami di Kampung Sungai Rambutan, di sini hangus dijilat api menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Tidak ada satu harta benda keluarga ini terselamat dalam kebakaran pada jam 3 pagi Jumaat lepas kecuali senaskah Al-Quran yang didapati masih elok dan tidak dimakan api.

“Al-Quran satu-satunya yang terselamat, yang lain hangus. Hanya bahagian luar dan tepi sahaja terbakar, tetapi helaian surahnya masih elok dan boleh dibaca.

Melihat keadaan Al-Quran ini saya terkedu dan insaf. Saya sedar ini semua ujian Allah buat keluarga kami di bulan Ramadan ini,” katanya Nur Farhana Shapie ketika menceritakan kebakaran yang memusnahkan rumah orang tuanya.

Farhana berkata mereka anak beranak sedang lena tidur dan tidak menyedari api tersebut sehinggalah terjaga setelah terhidu bau asap tebal.

Katanya kejadian mungkin berpunca daripada ubat nyamuk yang dipasang telah mengenai bantal menyebabkan api marak dengan begitu pantas sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah itu.

unnamed

“Mujur, pada waktu kejadian saya kebetulan ada di rumah kampung bersama mak ayah. Semasa saya tersedar api sudahpun memakan dinding ruman, saya papah selamatkan mak sementara suami dan anak berlari selamatkan diri diikuti ayah.

“Kami saksikan sendiri api merebak dengan pantas di seluruh rumah, tiada sebarang dokumen atau barang berharga dapat diselamatkan. Pada waktu itu, cuma nyawa kami lima beranak bermain di kepala. Jika nak dikenangkan, kami teramat bersyukur kerana selamat,”katanya.

Jelasnya, beliau berasa terkejut apabila terjumpa senaskah Al-Quran milik orang tuanya dalam keadaan baik ketika memeriksa semula rumah itu keesokan harinya.

Farhana berkata, ketika kejadian kedua-dua orang tuanya yang merupakan warga emas mengalami sedikit kecederaan ringan di bahagian kaki berikutan bahang api yang kuat ketika itu.

“Mujur, keadaan mak ayah tidak kritikal namun anggaran kerugian kami sekitar RM100,000. Buat masa ini, kami menumpang sementara di rumah sebelah ehsan orang-orang kampong. Mereka juga turut menyumbang barang keperluan,”ujarnya.

unnamed (2)

Tragedi malang tak berbau yang menimpa Farhana dan kedua orang tuanya Shapie Ibrahim, 61 dan Salehah Yaacob, 62, mendapat perhatian pihak berwajib termasuk ADUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff.

Wakil rakyat itu tampil menghulurkan bantuan berupa wang tunai berjumlah RM1,500 bagi tujuan membina semula atap zink yang musnah.

Manakala ibunya, Salehah yang mempunyai masalah kesihatan tidak boleh bergerak menerima kerusi roda sumbangan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor setelah dimaklumkan mengenai insiden kebakaran itu.

Dalam lawatan susulan, Faizul turut memastikan bekalan elektrik dan kemudahan asas diberikan kepada keluarga tersebut agar dapat meniti Ramadan dengan lebih selesa.

unnamed (1)