KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menegaskan semua kapal atau bot yang disyaki serta didapati melanggar undang-undang akan diperiksa dan diambil tindakan.

Sehubungan itu, Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, menasihatkan penduduk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) supaya sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan bagi memastikan ketenteraman awam dapat dipelihara.

“Saya juga meminta penduduk setempat sentiasa memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan tampil menyampaikan maklumat mengenai perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan kawasan dan perairan ESSZONE,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan bergambar yang viral di laman sosial serta aplikasi WhatsApp yang mendakwa ada kapal nelayan atau bot di kawasan perairan ESSZONE enggan berhenti bagi tujuan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

Menurut kenyataan yang disebarkan itu, pemilik kapal atau bot berkenaan berbuat demikian kerana beranggapan mereka kebal dari segi undang-undang apabila mengibarkan bendera tertentu – berita harian