IPOH– Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendesak semua Lembaga Pengarah anak syarikat kerajaan negeri, Perak Corp Berhad meletak jawatan atau menghadapi tindakan dipecat jika enggan berbuat demikian.

Kor Ming membuat desakan itu susulan kerugian besar yang dialami oleh syarikat berkenaan berjumlah RM 340.6 juta dalam tahun kewangan 2017.

Menurut beliau, jumlah hutang itu didapati melebihi jumlah aset yang ada dan kemungkinan berhadapan dengan kebangkrapan.

Beliau menyebut jumlah hutang meningkat dari Taman Tema Animasi Perak (MAPS) sehingga Perak Corp Berhad mengalami kerugian yang teruk sekali.

“Apabila jumlah hutang melebihi jumlah aset yang ada, maka bila-bila masa syarikat itu boleh menghadapi isu kebangkrapan.

Semua Lembaga Pengarah Perak Corp Berhad Didesak Letak Jawatan

“Antara puncanya ialah kelemahan pengurusan yang cukup tidak berwibawa,”katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP Perak, di sini pada Sabtu.

Kor Ming membuat pendedahan ini sebagai merujuk laporan The Edge Markets. Com menyebut bersandarkan kenyataan luaran (external) audit Ernst & Young yang mendakwa terdapat keraguan terhadap kemampuan pengurusan syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, paling mengejutkan kenyataan yang dibuat oleh audit tersebut, Perak Corp Berhad akan menyelesaikan masalah hutang itu dengan menjual tanah tertentu.

“Lihat, inikah cara pengurusan syarikat, bila tak dapat selesai hutang atau catat keuntungan, cara dia jual aset, jual tanah.

“Nak jual sampai bila, berapa tanah lagi untuk dijual? Bila rugi minta daripada kerajaan negeri, ini semua duit rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka fail untuk menyiasat perkara ini.

Dalam pada itu, beliau telah memaklumkan kepada YAB Menteri Besar Ahmad Faizal Datuk Azumu berhubung perkara itu.