KUALA LUMPUR : Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata helikopter Nuri milik mereka terlalu uzur untuk digunakan.

Ackbal Abdul Samad berkata semua 12 helikopter Nuri yang masih ada dihentikan operasi daripada menyertai pelbagai bentuk misi.

“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli alatan selenggara Nuri, ia memakan masa yang lama iaitu antara 9 hingga 18 bulan untuk memperolehi alat ganti,” katanya ketika sidang media khas Panglima Tentera Udara di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan sejak bila pesawat itu dihentikan secara rasmi.

Ackbal turut memaklumkan pihaknya dalam usaha mencari pengganti Nuri.

“Beberapa jenis helikopter kini dikenal pasti tetapi masih di peringkat penilaian,” katanya.

Pesawat Nuri yang berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak 1991.

Antaranya terhempas di Sintok Kedah pada 2010, di Tawau, Sabah dan Butterworth, Pulau Pinang (2016), di kawasan sempadan Terengganu, Pahang (2017) dan yang terbaru pesawat itu melakukan pendapatan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Setar.

Mengulas peruntukan bajet yang diberikan kerajaan, Ackbal memaklumkan jumlahnya memadai tetapi belum berada pada tahap yang terlalu selesa.

“Kami akan menggunakan peruntukan yang diberi secara berhemah dan meminimumkan program-program keraian jika merasakan ia tidak perlu,” katanya.