IPOH: Seramai 50 asnaf dan lima rumah kebajikan di sekitar bandaraya menerima sumbangan sempena program Semurni Kasih Ramadhan 7 Eleven Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Pengurus Kawasan 7-Eleven Bahagian Ipoh, Masri Mizalan berkata, program anjuran kali kelapan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, program menggabungkan 61 cawangan 7-Eleven di sekitar Ipoh bagi mengutip wang sumbangan untuk diserahkan kepada mereka golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya di sekitar bandaraya Ipoh, Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

“Masing-masing menerima sumbangan barangan keperluan dapur seperti minyak, roti, sabun, dan sebagainya.

“Kita akan menghantar sumbangan ini ke rumah asnaf yang tidak mempunyai keupayaan untuk hadir ke program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di 7-Eleven Cawangan Chepor Indah di sini petang ini.

Masri berkata, program yang sudah bermula sejak selama dua minggu lalu itu setakat ini berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM57,000 untuk diserahkan kepada penerima.

“Kita masih mempunyai baki beberapa hari lagi dan kita mensasarkan untuk mengumpul sebanyak RM80,000.

“Program pada hari diadakan bagi memaklumkan kepada orang ramai secara jelas bagaimana proses agihan derma itu dibuat,” katanya.

Katanya, bagi negeri Perak program penyerahan sumbangan di lakukan di dua lokasi, yang mana satu lagi akan diadakan di 7-Eleven Batu Gajah.